Thursday, March 18, 2010
Sungai Ujong, Negeri Sembilan
Negeri Sembilan merupakan lagi satu pengeluar timah yang utama di Tanah Melayu. Pada tahun 1869, perebutan kuasa antara Tengku Antah dan Tengku Ahmad Tunggal berlaku ketika kedua-dua putera itu berhasrat untuk menjadi Yamtuan Besar (pemerintah Negeri Sembilan) yang berikut. Pertikaian antara kedua-dua putera ini membahagikan gabungan dan mengancam kebolehpercayaan pembekalan timah dari Negeri Sembilan.
Sungai Ujong, sebuah negeri dalam gabungan, khususnya merupakan tapak bagi banyak lombong tempatan yang penting dan yang dikuasai oleh Dato' Kelana Sendeng. Bagaimanapun, Dato' Bandar Kulop Tunggal, ketua suku kaum tempatan, lebih berpengaruh berbanding dengan Dato' Kelana, dan menerima banyak sokongan daripada orang-orang tempatan serta juga daripada pendatang-pendatang Cina yang bekerja di lombong-lombong Sungai Ujong. Kepopularan Dato' Kelana yang terhad memaksanya bergantung kepada lagi seorang ketua suku kaum yang bernama Sayid Abdul Rahman untuk sokongan. Sayid Abdul Rahman adalah Laksamana Raja Laut bagi gabungan tersebut. Hubungan yang tegang antara Dato' Bandar dan Dato' Kelana mengakibatkan banyak kekacauan di Sungai Ujong.
Bagaimanapun, tahun-tahun sebelum 1873 merupakan tahun-tahun yang agak tenteram ketika Dato' Kelana terpaksa memberi lebih banyak perhatian kepada Sungai Linggi kerana Rembau, lagi sebuah negeri di dalam gabungan, mencuba merampas Sungai Linggi daripada kuasa Sungai Ujong. Negeri Sembilan ketika itu dikaitkan dengan Melaka melalui Sungai Linggi, dengan jumlah perdagangan yang besar melalui Sungai Linggi setiap hari. Sesiapa yang menguasai Sungai Linggi akan memperoleh banyak kekayaan hanya melalui cukai.
Pada tahun 1873, Dato' Kelana Sendeng meninggal dunia, dan Sayid Abdul Rahman menjadi Dato' Kelana baru. Bagaimanapun, kematian Dato' Kelana Sendeng tidak menyebabkan perbaikan hubungan antara Dato' Kelana dan Dato' Bandar. Sebaliknya, keadaan merosot. Dato' Kelana yang baru berasa amat risau terhadap pengaruh Dato' Bandar yang tidak terkawal dan mencari cara-cara untuk membalas kuasa musuhnya.
Apabila pihak British bertukar kepada dasar tidak campur tangan pada tahun 1873 dengan menggantikan Sir Harry Ord dengan Sir Andrew Clarke sebagai gabenor baru Negeri-negeri Selat, Dato' Kelana dengan segera menyedari bagaimana pihak British dapat mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong. Dato' Kelana tidak membazir masa dan dengan cepatnya berhubung serta melobi pihak British di Melaka untuk menyokongnya. Pada April 1874, Sir Clarke merebut permintaan Dato' Kelana sebagai cara untuk membina kehadiran British di Sungai Ujong khususnya dan Negeri Sembilan umumnya. Sir Clarke mengakui Dato' Kelana sebagai ketua Sungai Ujong yang sah. Pihak British dan Dato' Kelana memeterai sebuah perjanjian yang mendesak Dato' Kelana supaya memerintah Sungai Ujong dengan adil, melindungi pedagang-pedagang, serta menghalang sebarang tindakan yang menentang pihak British di sana. Dato' Bandar tidak dijemput untuk memeterai perjanjian ini dan oleh itu, beliau berkata bahawa beliau tidak terikat kepada perjanjian tersebut. Tambahan pula, Dato' Bandar dan orang-orang tempatan tidak bersetuju dengan kehadiran pihak British di Sungai Ujong, dan ini mengakibatkan Dato' Kelana menjadi lagi tidak popular di sana.
Tidak lama kemudian, sebuah kumpulan yang diketuai oleh William A. Pickering — dari Kawasan Naungan Cina di Negeri-negeri Selat — dihantar ke Sungai Ujong untuk menaksir keadaan bagi pihak Negeri-negeri Selat. Beliau mendapat tahu tentang kesusahan Dato' Kelana dan melaporkan hal ini kepada Negeri-negeri Selat. Ini memaksa pihak British menghantar 160 orang askar ke Sungai Ujong untuk membantu Pickering menewaskan Dato' Bandar. Pada akhir tahun 1874, Dato' Bandar melarikan diri ke Kepayang. Walaupun ditewaskan, pihak British masih membayarnya pencen serta memberi perlindungan kepadanya di Singapura.
Dengan lalunya masa, pengaruh British semakin meningkat sehingga seorang penolong residen dijawat untuk menasihati dan membantu Dato' Kelana dalam pemerintahan Sungai Ujong.
0 comments:
Post a Comment