Thursday, March 18, 2010
Negeri-negeri Selat
Selepas pihak British menguasai Singapura daripada pihak Belanda melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, British bertujuan untuk memusatkan pentadbiran Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Oleh itu, pada tahun 1826, sebuah rangka yang dikenali sebagai "Negeri-negeri Selat" ditubuhkan dengan Pulau Pinang menjadi ibu kotanya. Kemudian pada tahun 1832, ibu kotanya dipindahkan ke Singapura. Sementara tiga pegangan menjadi tulang belakang Negeri-Negeri Selat, Pulau Christmas, Kepulauan Cocos, Labuan dan Dinding di Perak kemudian diletakkan di bawah kuasa Negeri-negeri Selat.
Sehingga tahun 1867, Negeri-negeri Selat bertanggungjawab kepada pentadbir Syarikat Hindia Timur Inggeris di Kolkata. Bagaimanapun, para pentadbir Negeri-negeri Selat tidak berpuas hati dengan cara Kolkata menangani hal-ehwal mereka dan mereka merungut kepada London. Syarikat itu juga mencuba membatalkan taraf Singapura sebagai pelabuhan bebas pada tahun 1856.
Bagaimanapun, Syarikat Hindia Timur Inggeris dibubarkan pada tahun 1858 dan India dijadikan sebuah tanah jajahan. Disebabkan oleh kuasa Kolkata yang semakin merosot serta lobi para pentadbir Negeri-negeri Selat, tanah jajahan tersebut dikuasai secara langsung oleh Pejabat Kolonial di London dan diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan Diraja. Pengisytiharan itu memberikan Negeri-negeri Selat banyak kebebasan dan kuasa di dalam Empayar British.
Pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua, tanah jajahan dibubarkan dan diserap ke dalam Malayan Union sedangkan Singapura dipisahkan daripada Union tersebut dan dibentuk sebagai sebuah tanah jajahan baru. Malayan Union kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan pada tahun 1963, Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah persekutuan yang lebih besar, dengan pemasukan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.
[sunting] Negeri-negeri Melayu Utara dan Siam
- Maklumat terperinci: Sejarah Thailand (1768-1932)
Sebelum akhir abad ke-19, Syarikat Hindia Timur Inggeris hanya memberikan perhatian kepada perdagangan dan mencuba menjauhkan diri daripada politik Melayu dengan seberapa yang dapat. Bagaimanapun, pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu utara, khususnya Kedah, Terengganu, Kelantan dan Patani menghalangnya daripada berdagang dengan aman. Oleh itu, pada tahun 1826, pihak British melalui Syarikat tersebut memeterai sebuah perjanjian dengan raja Siam yang dikenali sebagai Perjanjian Burney. Keempat-empat negeri Melayu tidak hadir semasa pemeteraian perjanjian itu. Dalam perjanjian itu, pihak British mengakui kedaulatan Siam terhadap keempat-empat negeri tersebut. Sebagai balasan, Siam menerima pemilikan British terhadap Pulau Pinang serta Seberang Perai (Province Wellesley) dan membenarkan Syarikat berdagang di Terengganu dan Kelantan tanpa halangan.
Hampir seratus tahun kemudian, sebuah perjanjian baru yang kini dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Siam 1909 atau Perjanjian Bangkok 1909 dimeterai antara kedua-dua kuasa. Dalam perjanjian baru ini, Siam bersetuju untuk melepaskan tuntutan mereka terhadap Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan, manakala Patani dikekalkan sebagai sebuah wilayah Siam. Perlis yang pada suatu masa merupakan sebahagian Kedah dipisahkan daripada Kedah semasa pemerintahan Siam. Bagaimanapun, daerah Satun di Kedah diilhakkan oleh Siam melalui perjanjian tersebut. Patani sebaliknya dipecahkan menjadi Patani, Yala dan Narathiwat selepas pemeteraian perjanjian itu.
Walaupun Raja Chulalongkorn dari Siam berkeberatan memeterai perjanjian itu, tekanan Perancis yang semakin meningkat di sempadan timur Siam memaksanya bekerjasama dengan pihak British. Serupa dengan Rama IV, Chulalongkorn berharap bahawa pihak British akan meninggalkan Siam sendirian jika baginda menyetujui tuntutan-tuntutan British. Lebih awal pada tahun 1893, Siam telah hilang kawasan Shan di Myanmar timur laut kepada pihak British. Garisan tanda sempadan ini sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian masih dikekalkan pada hari ini sebagai Sempadan Malaysia-Thailand.
Sultan-sultan Melayu tidak mengakui perjanjian tersebut. Bagaimanapun, baginda-baginda itu terlalu lemah untuk menentang pengaruh British. Selepas Perjanjian Bangkok, George Maxwell dihantar oleh pihak British ke Kedah sebagai penasihat sultan. Pihak British mengambil alih perancangan dan pelaksanaan ekonomi secara berkesan. Landasan kereta api dibina untuk mengaitkan Kedah dengan Siam pada tahun 1912, sedangkan reformasi tanah diperkenalkan pada tahun 1914. Hanya pada tahun 1923 bahawa sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Syah, menerima seorang penasihat British.
Perlis mengalami keadaan yang serupa. Rajanya tidak mengakui perjanjian 1909 tetapi pihak British merupakan pentadbir de facto negeri itu. Hanya pada tahun 1930 bahawa rajanya, Raja Syed Alwi, mengakui kehadiran British di Perlis dengan penerimaan Meadows Frost sebagai Penasihat British pertama di Perlis.
0 comments:
Post a Comment